BIDAS

RUANG ANARKISME ONLINE

Analisa #KL112

Hari Kebangkitan Rakyat atau #KL112, daripada nama yang diberi, perkataan ‘rakyat’ menunjukkan bahawa masyarakat dan kebanyakan individu masih lagi mahu menjadi subjek pemerintahan dan dikongkong dengan sempadan. Hari ini diacarakan oleh penganjur pada hari hujung minggu menunjukkan masih lagi ramai tak sanggup meninggalkan kerja dan kepentingan di hari minggu, mengharapkan massa dalam bilangan yang besar untuk menyatakan sesuatu kepada pemerintah sedia ada.

Sehari sebelum 12 Januari, penganjur menyiarkan senarai tempat berhimpun, masa berarak dan ‘komander-komander’ untuk mengetuai perarakan ke Stadium Merdeka. ‘Komander’ ini kebanyakannya terdiri dari individu berkepentingan dalam parti pembangkang, NGI, NGO dan mahasiswa, dimana mereka memenuhi kemahuan penganjur, terkenal untuk menarik bilangan massa yang besar dan adanya berkepentingan dalam parti pembangkang.

Apa yang aku harapkan sebenarnya satu pemogokan umum (general strike) dimana penganjur mengajak sekali kolektif yang berjuang untuk pilihanraya bersih, anti-Lynas, Reformasi, Felda, kerajaan teokrasi, sosialis etc. Seperti kalian semua tahu, anarkis tidak mendapat tempat dalam hal ini, sememangnya pengasingan dari masyarakat massa itu dijangka dan bilangan individu atau kolektif yang mendokong anarkisme adalah marjinal, bilangannya sedikit. Buat masa sekarang, anarkisme masih disalah anggap dan tidak diketahui oleh umum, ada yang mengatakan individu dan kolektif dalam paksi pembangkang itu sebenarnya anarkis oleh media massa tempatan, ini sangat mengelirukan.

Aku dengan beberapa teman yang lain berhimpun di Jalan Sultan dan mula berarak ke Stadium Merdeka, hampir semua dari kami menutup identiti dan membawa sepanduk hitam yang bertulis, ‘Perang Kelas’. Sepanjang kami berarak, reaksi penunjuk perasaan yang lain, kebanyakannya hanya mengambil gambar, menjeling dan ada segelintir yang bertanya tentang sepanduk tersebut, ini menunjukkan ramai yang masih tidak sedar, tahu dan ambil berat tentang perang kelas. PDRM tidak mengerah FRU untuk ‘mengawal keamanan’, ini mendapat respon positif dari penunjuk perasaan yang lain dan penganjur, tetapi mereka tidak sedar bahawa acara ini dibenarkan supaya berjalan tanpa sebarang campur tangan badan berkanun dan pemerintah.

Sepanjang perarakan, ada kenderaan yang dinaiki ‘komander’ dengan bendera yang mereka peragakan, pembesar suara dan ahli lain yang memimpin perarakan itu dengan ucapan berbaur kebencian dan serangan peribadi kepada individu di dalam pemerintahan, sorakan beritma dan lain lagi. Peniaga makanan, cenderamata perhimpunan dan banyak lagi mengambil kesempatan ke atas perhimpunan ini untuk mencari keuntungan.Hampir dengan Stadium Merdeka, kami melalui beberapa anggota Unit Amal/Jabatan Amal dengan beruniform maroon dan kami dihalang dari pada meneruskan perjalanan kami. Disebabkan kami menyelindung identiti kami, kami diarahkan dengan kasar oleh kakitangan Unit Amal untuk menanggalkan topeng/keys/balaclava dan ditarik dari kumpulan. Ini adalah bayangan bahawa pemerintahan walaupun diterajui pakatan pembangkang, kakitangan kekuasaan akan digunakan untuk menindas dan mendesak masyarakat dan individu.

Kami faham bahawa mereka menjalankan tugas untuk ‘menjaga keamanan’ perhimpunan dari sebarang batu api (instigator) dan anasir-anasir yang akan mengugat imej aman perhimpunan. Kami terpaksa akur untuk mengelakkan kekecohan, buka sekejap penutup muka dan memakainya semula bila jauh dari anggota Unit Amal.Setelah berada di destinasi, bilangan peserta yang hadir memang ramai dan kawasan di dalam Stadium Merdeka sangat padat. Kami berhenti di kawasan parkir kereta dengan merentangkan sepanduk untuk beberapa jam. Selama kami di situ, beberapa individu dari NGO, mahasiswa dan parti pembangkang memberikan ucapan, adanya yang bernas tapi kebanyakan hanyalah ucapan kebencian dan kempen pilihanraya supaya mereka dapat memerintah selepas menumbangkan pemerintah yang sedia ada daripada takhta kekuasaan secara simboliknya, Putrajaya. Pemusik dan pemuisi juga turut bersama menyatakan perasaan mereka dalam bentuk seni musik dan sastera. Ada individu dari parti pembangkang selepas memberi ucapan, mengajak peserta perhimpunan untuk menyalurkan sumbangan untuk mereka berkempen supaya mereka menang pilihanraya dan menjadi pemerintah dengan harapan mereka dapat menjadi lebih baik dari pemerintah yang sedia ada.

Setelah kami bersurai dan pulang ke rumah, baru kami nampak ada beberapa kolektif/individu anarkis dan ANTIFA lain turut serta dalam perhimpunan tersebut. Mungkin pada masa akan datang, organisasi yang lebih teguh, erat dan baik dapat dicapai oleh kita semua seiring dengan penerangan kepada massa dan apa saja yang kita lakukan, baik vandalisme, menulis dan lain lagi. Ramai yang masih tidak tahu, keliru dan tidak faham mengenai anarkisme, masyarakat yang kurang ambil tahu, kekeliruan yang dilakukan oleh media massa, ahli politik dan mungkin bilangan anarkis yang marjinal adalah penyebabnya.

Secara massa, kita boleh lihat masyarakat semakin kritikal, semakin matang dan tidak apati dengan perubahan secara sosio-politik dengan menunjukkan solidariti mereka untuk apa yang mereka percaya betul dan kearah kebaikan dalam kefahaman mereka. Ramai dari pada mereka masih mengiktiraf mereka sebagai rakyat, subjek kepada pemerintahan dan apa yang mereka lakukan adalah untuk kecintaan mereka kepada negara. Ramai yang masih percaya dengan sistem demokrasi perwakilan berpartisan dan mengharapkan calon atau parti yang mereka undi akan memenuhi kepentingan mereka, memberikan mereka kesenangan dan lebih baik dari pemerintah yang sedia ada. Akan datang, banyak lagi protes dan perhimpunan akan dijalankan oleh mana-mana paksi selepas ini.

Leave a comment

Information

This entry was posted on Apr 8, 2013 by in Protes and tagged .