BIDAS

RUANG ANARKISME ONLINE

Kritik Terhadap Islam Melalui Perspektif Anarkis

bigpreview_No gods, No masters

Di Ireland, bendera Hezbollah berkibar ketika demonstrasi di Dublin dalam slogan ‘God is Great’ dilaungkan. Di London pula, slogan ‘Bunuh Yahudi’ dan “Sosialis harus mati” dilaung. Ada laporan yang mengatakan golongan ultra-reaksioner seperti organisasi Al-Muhajiroun membawa sepanduk tertulis ‘Palestin adalah Muslim’ dan mereka melaungkan ‘Tembak Israel’ dan ‘Gas, gas Tel Aviv’.Di Trafalgar Square mereka melontar cacian (dan juga batu) ke arah kumpulan Just Peace di Tirza Waisel. Manakala di Malaysia pula, slogan melampau seperti ‘Heil Hitler’ dijerit dan sepanduk ‘Allah laknatilah Yahudi’ dibawa.

Pendahuluan

Artikel ini ditulis sebagai penerangan mengapa anarkis menolak konsep agama dan bagaimana agama dan idea anarkisme tidak selari. Artikel ini lebih di tujukan dan kritik kami terhadap mereka yang melabel diri mereka sebagai anarkis Muslim. Harus diingat, kami menolak konsep agama, bukan sahaja agama Islam, tetapi segala agama, lebih lagi agama Samawi (Abrahamic God), kerana ia adalah organized religion dan merupakan tali barut dalam perkembangan idea-idea fasisme dan negara.

Agama adalah satu senjata mudah untuk digunakan dalam mengawal masyarakat. Sebagai contoh di Malaysia, segala kekejaman dan keganasan atas nama tuhan akan dihalalkan. Menurut sejarah, agama telah memulakan pelbagai perang dan telah mengorbankan berjuta nyawa. Dari serangan 11 September di New York, perang tidak bekesudahan di Tebing Barat, kebangkitan Islamic State dan di Malaysia, persengketaan yang tidak berkesudahan antara orang Islam dan penganut agama lain.

Gerakan kiri di Barat lebih suka berdiam diri dalam memberi kritikan terhadap agama Islam. Mereka amat takut dilabel Islamophobia dan menegaskan Islam adalah agama yang aman dan penuh toleransi. Akan tetapi, jika anda perasan, mereka lebih mengkritik agama Kristian. Ini kerana mereka lahir dan hidup di dalam masyarakat yang beragama Kristian. Mereka melalui dan merasai peranan gereja dalam mengawal tingkah laku manusia dan Kristian menjadi aset penting untuk pemerintah. Oleh demikian, ia menjadi tanggung-jawab kepada kami untuk memberi kritikan terhadap agama Islam kerana kami lahir dalam masyarakat Islam dan menerima penindasan dari agama tersebut. Label Islamophobia tidak layak diletakkan ke atas kami kerana kebanyakkan kami pernah menjadi seorang Muslim dan melalui segala penindasan, tipu helah agama Islam.

Untuk pembaca semua, kami menolak konsep agama bukan bertujuan memecah belah masyarakat. Agama adalah satu konsep yang harus dipegang oleh individu itu sendiri tanpa perlu memaksa orang lain mempercayainya. Simpan sendiri, tak perlu untuk cuba membasuh orang lain. Tapi kerana agamalah, segala penindasan dihalalkan, kerana agama lah, segala penipuan berleluasa, kerana agama lah, kebencian wujud, kerana itu adalah konsep agama. Agama menyatakan mereka cintai keamanan, penuh toleransi dan penyayang tetapi, aman kah konsep itu jika konsep neraka dan seksaan itu wujud? Ini adalah kritikan kami terhadap agama, terutamanya agama Islam melalui prinsip anarkisme.

Kebencian, Diskriminasi dan Rasisme

Agama Islam mewujudkan dan melahirkan kebencian. Segala gembar gembur yang ia adalah agama cinta adalah omong-omong kosong belaka.

Mengikut surah Al-Taubah: 28, ia tertulis “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis.“

Ia adalah salah satu ayat kebencian yang amat ketara.

Antara contoh kebencian lain yang dipupuk oleh agama Islam adalah ketika solat jumaat, doa yang dibaca adalah dengan meminta Allah menjaga Sultan dan Yang diPertuan Agong dan menghentam orang-orang kafir dan selalunya, khutbah yang dibaca merupakan kenyataan anti-semitik. Seperti yang kami sudah nyatakan, agama merupakan senjata terbaik menjaga status pemerintah dan negara.

Dalam kitab Mukhtasar Tazkiratul Qurthubi menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“”Seksaan orang kafir di dalam kubur, dan demi Zat yang jiwaku berada pada genggaman kekuasaan-Nya, bahawasanya Allah menguasakan 99 tannin. Tahukah kamu semua, apakah tannin itu? Tannin ialah 99 ular yang setiap ular mempunyai sembilan kepala yang menyembur dan melingkari orang kafir hingga hari kiamat. Ia diiring dari kuburnya dalam keadaan buta. Manusia yang masih hidup tidak dapat mendengar seksaan mayat di dalam kubur, ia hanya dapat didengar oleh haiwan.””

Tiada beza antara mereka yang mematuhi Hitler lantaran takut dengan kezaliman seksaannya dengan mereka yang mematuhi agama lantaran takut kezaliman seksaanNya. Mari kita sama-sama fikirkan.

holocaust01

Kekejaman dan Dogma

Agama Islam juga mengajar tidak kiralah sejahat mana pun individu itu, sama ada seorang pembunuh, perogol, perompak atau penipu, asalkan individu itu tetap dalam agama dan tidak menduakan Allah, dia pasti akan dimasukkan ke dalam syurga setelah diseksa di neraka mengikut tempoh yang ditetapkan berdasarkan dosanya.

Namun jika beliau tidak percaya kepada Allah (tidak kiralah sebaik mana pun, walaupun tidak pernah berbuat jahat, selalu membantu manusia dalam kesusahan, membantu haiwan, membantu kanak-kanak mangsa dera, bekerja sukarela membantu mangsa bencana alam, mendermakan organ buat pesakit yang memerlukan, mempertahankan hak orang beragama dari diskriminasi masyarakat, membina sekolah kanak-kanak OKU dan seribu macam jenis kebaikan) tempatnya adalah tetap di neraka dimana individu itu akan dibakar, diseksa dengan besi panas, dituangkan ke dalam mulutnya cecair lahar yang mendidih, kulitnya akan disiat-siat, dilibas dengan cabuk-cabuk api oleh malaikat penjaga neraka.

Kerana tidak mempercayai Tuhan dan/atau agama Islam, individu akan menerima seksaan api neraka selama-lamanya.

Amat menghairankan adalah bagaimana mereka hidup dan bersosial. Kebanyakkan mereka bergaul dengan orang yang mempunyai perbezaan agama dan kepercayaan. Dan mengikut kepercayaan mereka, rakan-rakan mereka, atau guru, atau pelajar, atau siapa sahaja yang tidak mempercayai Tuhan yang mereka percayai, akan menghadapi seksaan kejam ini ketika mereka mati.

Perihal ini sudah cukup buat seseorang yang mempunyai akal dan hati untuk berhenti dan berfikir sejenak. Tuhan jenis apakah yang kamu sembah itu? Bagaimana kamu boleh mempercayai Tuhan sebegitu? Dan benarkah Tuhan sebegitu benar-benar wujud atau hanya produk ciptaan manusia sadistik ribuan tahun dahulu?

Ramai yang suka mengelak dari berfikir lantaran takut terjerumus ke lembah syirik dan kemudian nanti dilempar ke dalam neraka. Ini semua adalah dogma ciptaan agama bagi menyekat perkembangan pemikiran manusia. Masalah utama majoriti umat Islam dalam mengenal ‘kebenaran’ adalah tertutupnya hati dan akal mereka. Apabila mereka berbahas atau berhujah, berada di dalam minda mereka bahawa mereka perlu menang. Pihak lawan perlu kalah atas nama Allah.

Penganut agama Islam selalu menyatakan mereka lahir sebagai seorang Muslim. Mengikut logik akal, setiap bayi lahir tanpa agama yakni atheist. Mereka lahir menerusi ibu bapa beragama tetapi bayi itu sendiri tidak mempunyai agama. Agama hanya dianuti apabila seseorang itu sedar dan faham apa itu konsep agama dan yakin dengan kewujudan tuhan. Seseorang itu hanya memeluk agama ibu bapa mereka kerana ia telah diajar dari sejak kecil. Argumentasi bahawa setiap bayi itu lahir beragama adalah tidak rasional sama sekali.

Antara kritik lain terhadap agama adalah apabila keraguan wujud, yang mana keraguan adalah nilai semula jadi setiap manusia, mereka mempersalahkan syaitan dan golongan bukan Islam. Keraguan membuatkan kita bergerak mencari fakta dan kebenaran. Keraguanlah yang mendorong manusia berkembang dan mengkaji setiap inci alam semesta semampu dan sejauh yang mungkin. Tetapi agama amat berjaya dalam menyekat keraguan manusia dan menjadikan dogma sebagai penghalang perkembangan sesetiap manusia itu. Ini adalah satu dogma, senjata utama ciptaan agama untuk mengongkong minda manusia supaya mudah dikawal oleh pemerintah.

Idea anarkisme mengajar kita supaya menjadi kritikal terhadap apa sahaja yang telah disuap ke mulut kita. Dari sistem kapitalis, konsep negara, seksisme, homophobia dan juga agama. Dengan melontar pertanyaan dan kritikan, ia membuktikan kita bebas dari segala perasaan takut, walaupun kita telah dimomokkan dengan kewujudan penjara dan neraka.

Antara praktis yang paling tidak masuk akal adalah jika seseorang bukan Islam memberi salam (walau dengan niat yang baik), mereka diajar untuk menjawab “waalaikumussam” yang bermaksud “celakalah ke atas kamu”.

lima-orang-ini-mengaku-pernah-ke-neraka

Satu lagi, ramai penganut agama tidak sedar yang tuhan mereka mempunyai sifat bipolar yang agak agresif. Tuhan digembar-gemburkan sebagai penyayang tetapi pada masa yang sama, begitu zalim. Zalim sehingga kesalahan kecil seperti menyentuh bukan muhrim akan dihukum dengan hukuman yang berat dan menyeksakan.

Kekejaman dan Islam adalah satu perihal yang begitu sinonim. Dari hal kanak-kanak yang dipaksa kahwin, hukuman rejam, hukuman hudud dan apabila hudud dikritik, pengkritik akan dihentam dengan caci maki yang berbau ganas seperti bunuh dan dera, dan ianya datang dari kitab suci al-Quran dan juga-juga kisah-kisah yang terkandung di dalamnya. Ada yang mengatakan Islam mempromosikan kestabilan moral, tetapi jika kita mengambil kisah Nabi Ibrahim, yang diperintahkan oleh tuhan untuk menyembelih anaknya sendiri, iaitu Ismail, ianya cukup tidak bermoral. Di mana logik cerita ini dan apa jenis moral yang cuba disampaikan oleh tuhan sehingga mengarahkan seseorang itu membunuh anak kandungnya sendiri? Jika tuhan mahu Ibrahim berkorban sebagai tanda taat kepada tuhan, ini adalah cerita moral paling teruk pernah wujud di muka dunia.

Tetapi jika kita perhatikan ayat-ayat lain, kita tidak akan terkejut dengan sifat tidak bermoral tuhan itu. Ini adalah sebahagian contoh:

Lantaran murka kepada kaum Nabi nuh, semua makhluk (kecuali yang didalam bahtera) mati lemas tak kira tua muda, sihat cacat, bayi, haiwan-haiwan serta tumbuh-tumbuhan. (al-Ankabut: 14)

Lantaran murka kepada kaum ‘Ad, semua orang termasuk kanak-kanak dihentam bencana ribut dan tertimbus dalam pasir. (at-Taubah: 70, al-Qamar: 18, Fushilat: 13, an-Najm: 50, Qaf: 13)

Lantaran murka dengan kaum Nabi Saleh yang membunuh unta betina mukjizat Nabi Saleh, semua mati terkena bencana.. .(al-Hijr: 80, Hud: 68, Qaf: 12).

Lantaran murka kepada kaum Nabi Luth, bumi dilingkupkan ke atas mereka. Paling menyedihkan, isteri Nabi Luth turut terkena hukuman Allah hanya kerana berpaling ke belakang melihat nasib kaumnya ditimpa bencana.(al-Syu’ara: 160, an-Naml: 54, al-Hijr: 67, al-Furqan: 38, Qaf: 12).

Lantaran murka kepada kaum Madyan dan kaum Aikah (Nabi Syu’aib), mereka dihapuskan dengan kepanasan dan dengan suara pekikan yang kuat. (at-Taubah: 70, al-Hijr: 78, Thaaha: 40, dan al-Hajj: 44).

Lantaran murka kepada Firaun, semua penduduk Mesir dikenakan hukuman seperti air sungai Nil menjadi darah hingga tidak boleh diminum, musim kemarau melampau, serangan hama, katak dan belalang. Firaun dan tentera-tenteranya pula ditenggelamkan dalam laut. (Hadis-hadis/ al-Baqarah: 50 dan Yunus: 92)

Dan pelbagai lagi kemurkaan terhadap Ashab Al-Sabt (al-A’raf: 163), Ashab al-Rass (al-Furqan: 38 dan Qaf : 12), Ashab al-Ukhdudd (al-Buruj: 4-9), Ashab al-Qaryah (Yasin: 13), Kaum Tubba’ (ad-Dukhan: 37), Kaum Saba (Saba: 15-19)…

Kepada sesiapa yang sudah lazim dengan Old Testament Kristian dan agama Yahudi akan setuju, agama Islam lebih kejam. Selain Salman Rushdie, beberapa individu lain telah menghadapi ugutan bunuh hanya kerana memberi kritikan terhadap Islam. Jika anda mengkritik Kristian atau Yahudi, tiada ugutan atau fatwa bunuh dijatuhkan. Ia amat berbeza dengan agama Islam. Sebagai contoh, Ayaan Hirsi Ali dan di Malaysia, Lina Joy. Manakala ada juga telah menjadi mangsa seperti Theo Van Gogh.

Mari kita sama-sama fikirkan. Tuhan mencipta neraka yang amat dasyat. Seksaan-seksaan neraka hanya mampu dicipta oleh sesuatu entiti yang mempunyai peribadi yang kejam dan sadis. Peribadi itulah yang digelar tuhan. Namun tahukah anda tuhan yang dibayangkan dalam agama samawi (Abrahamic religions) adalah tuhan yang mempunyai sifat cemburu yang tinggi, kejam, tidak berperikemanusiaan, egois, tidak adil, bersifat manipulasi, dan juga punca segala kerosakkan, dosa, dan masalah di dunia ini?

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu’ alaihi Wassalam berkata, “Sesungguhnya penduduk neraka yang paling ringan siksanya adalah seseorang yang dipakaikan kepadanya dua kasut dari api neraka, lantas mendidih otaknya kerananya.” (HR. Ahmad dan al-Hakim, lihat ash -Shahihah no. 1680)

Tanpa diminta, tuhan mencipta kita, kemudian membebankan kita dengan pelbagai undang-undang, kemudiannya mengancam kita dengan api neraka dan pelbagai seksaan-seksaan yang kejam dam tidak masuk akal, Malah barang siapa yang tidak percaya kewujudannya akan diseksa selama-lamaya (infiniti).

Paling menyedihkan adalah tuhan yang disanjung mulia ini, jika dia seorang manusia, mempunyai elemen-elemen penyakit jiwa. Tuhan menyatakan yang dia maha penyayang tetapi kalau kasih sayangnya tidak dibalas, maka seseorang itu akan menghadapi seksaan yang amatlah azab dan amatlah mengerikan.

Amat merunsingkan adalah, golongan anarkis yang melabel mereka sebagai anarkis Muslim, terlepas pandang perihal-perihal ini. Mereka juga tertutup hati dan mempunyai perasaan takut untuk mengkritik dan mempersoal agama yang diajar dan dipupuk ke dalam diri mereka semenjak mereka kecil.

Tampere_war_victims_1918

No Gods No Masters

Anarkis secara amnya adalah tidak mempunyai agama, dan selalunya anti-agama. Antara slogan yang dilaungkan oleh para anarkis adalah `Ni Dieu ni maître!’ (Neither God nor master!/BM Tiada Tuhan, Tiada Tuan!). Slogan itu pertama kali diucap oleh Auguste Blanqui (seorang sosialis) pada 1880. Argumentasi untuk hubungan negatif ini adalah kerana agama menjadi tiang pemerintah, institusi agama menjadi batu asas negara dan juga penentang negara adalah penentang agama.

130 tahun yang lalu, anarkis bernama Mikael Bakunin pernah menulis “Jika tuhan tiu benar-benar wujud, maka dia harus dihapuskan.” Beliau menulis berdasarkan situasi ketika itu di Eropah. Beliau juga menyatakan “apabila mereka berbicara mengenai tuhan yang mereka puja, yang mereka agungkan, muliakan dan pada waktu yang sama, tuhan tersebut akan meranapkan dan membinasakan kita. Dengan nama tuhan, mereka membayangkan manusia akan bersaudara, tetapi secara kontra, mereka mencipta perang, membenci sesama manusia, menghambakan manusia dan mereka begitu angkuh.” Ia ditulis sebagai reaksi Bakunin terhadap pihak gereja Kristian tetapi segala kenyataan tersebut juga boleh digunapakai untuk agama Islam.

Anarkisme adalah idea politik dan sosial yang menerangkan manusia seharusnya hidup tanpa sebarang kontrol dan authoriti dari segala rupa dan bentuk. Authoriti bukan sahaja dari bentuk kerajaan dan polis, malah juga dari konkongan dan dogma agama. Persoalan yang selalu timbul adalah bolehkah kepercayaan agama dan idea anarkisme bergerak selari? Jawapan untuk pertanyaan pertama adalah ya, ia boleh bergerak selari sekiranya ianya positif dan tidak, jika ianya bercanggah dan hasilnya penuh kontradiksi.

Secara umum dan secara logikal, hubungan antara anarkisme dan agama adalah sesuatu yang bercanggah. Ini kerana konsep ketuhanan, syurga dan neraka, pahala dan dosa, mempunyai kontradiksi yang tinggi dengan idea anarkisme.

Gustave Brocher dalam buku bahasa Perancis beliau Encyclopdie Anarchiste (1932), ada menulis “Seorang anarkis yang menolak segala authoriti di dunia seperti kerajaan authoritarian, seharusnya menolak sebarang idea Maha Berkuasa dalam segala bentuk. Jika beliau konsisten, beliau harus mengelarkan dirinya sebagai seorang ateis”. Penulisan oleh anarkis tentang konsep agama telah pernah ditulis sebelum ini oleh Mikhail Bakunin, God and The State (1882) yang mana pada pemulaan beliau menulis “jika tuhan itu wujud, ianya harus dihapuskan” dan dalam akhbar anarkis dari Britain, Freedom (Oktober 1986) ada artikel oleh Barbara Smoker yang bertajuk ‘Anarkisme selari dengan Ateisme.’ Jika diambil dari sejarah, ianya adalah kebiasaan apabila anarkis secara umum tidak alim dan selalunya anti agama dan slogan utama anarkis adalah No Gods No Masters.

Argumen mengenai hubungan positif pula adalah agama mempunyai sifat dan nilai pembebasan. Dan itu adalah apa yang selalu digunakan dan digembar-gemburkan oleh pihak gereja dan masjid serta institusi-institusi agama yang lain. Permasalahan lain pula adalah agama amat penting untuk politikus, masjid-masjid digunakan untuk kepentingan Negara dan ayat-ayat dan janji manis digunakan untuk orang yang tertindas.

Menurut Islam, pemisahan antara sosial, poltik dan agama tidak perlu wujud. Idea mengenai kerajaan Islam dan Hudud ataupun Sharia perlu didokong oleh semua manusia yang menganggap diri mereka sebagai Muslim. Mengikut undang-undang Islam, hukuman bagi golongan murtad adalah hukuman mati bagi lelaki, dan penjara seumur hidup bagi wanita. Jika kita membuat perbandingan, Islam adalah lebih kejam dari agama Kristian, walaupun jika kita membuat perbandingan zaman Kristian ketika Galileo masih hidup.

Berikut adalah hadis-hadis berkenaan hukum murtad adalah sahih pada darjatnya yang tertinggi (status Sahih). Antaranya:

“Daripada `Ikrimah bahawa orang-orang zindiq dibawa kepada Ali bin Abi Talib lalu beliau hendak membakar zindiq itu, tetapi Ibn `Abbas melarangnya kerana mendengar Nabi s.a.w. pernah melarang menyeksa dengan api, lalu Ibn `Abbas menasihatinya supaya beramal dengan sabda Nabi s.a.w.: Sesiapa yang menukar agamanya (murtad), maka bunuhlah dia.” – (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini juga berasal dari Bahz bin Hakim dan `Aisyah mengikut riwayat al-Tabrani.

Daripada Ibn Mas`ud dan `Aisyah, Nabi s.a.w. bersabda: “Tidak halal darah seseorang muslim selain daripada tiga sebab: berzina selepas menjadi muhsan, membunuh orang lain tanpa hak dan mengasingkan diri dari jemaah serta meninggalkan agama (murtad)”. – (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dll)

Di Malaysia, murtad adalah satu jenayah besar. Di antara hukuman untuk murtad adalah denda sehingga RM5,000.00, penjara maksima 3 tahun atau sebatan sebanyak 6 kali sebatan. Ada juga negeri yang menahan mandatori para murtad ke Pusat Pemulihan Aqidah sehingga 36 bulan. Tetapi mengikut sejarah, di Malaysia, individu yang mahu murtad secara legal telah menghadapi pelbagai ugutan bunuh. Majoriti daripada golongan murtad, merahsiakan hal ini sepanjang hayat mereka dan mengalami tekanan kerana perlu berahsia. Ada diantara mereka yang lebih bernasib baik memilih untuk keluar dari negara ini.

Tidak hairanlah kenapa hukuman berat dijatuhkan kepada orang yang murtad, kerana menurut Islam, ia adalah dosa paling besar.

Perbezaan lain yang ketara antara Old Testament Kristian dan Yahudi adalah, golongan Kristian pada waktu sekarang masih gagal dalam mewujudkan negara Kristian. Gerakan fundamentalis Kristian sekarang terpaksa bekerja dalam memberi pengaruh secara am dan mereka bagaikan sudah berputus asa dalam usaha mereka. Sebagai contoh, sekarang di Amerika Syarikat, mereka lebih berusaha untuk menghalang pembelajaran sains evolusi di peringkat sekolah.

Manakala Islam pula, kita boleh perhatikan kewujudan negara Islam seperti Iran, Saudi Arabia dan Sudan. Paling terbaru adalah Brunei. Kita juga boleh perhatikan gerakan untuk mewujudkan negara Islam masih giat, seperti di Lubnan, Mesir, Syria dan juga Malaysia, yang mana undang-undang Sharia wujud dan mahu diperkasakan oleh mereka. Di Utara Nigeria, statistik menunjukkan kenaikkan hukum bunuh (direjam) terhadap wanita oleh mahkamah Islam. Paling mendukacitakan, kebanyakkan negara-negara ini adalah negara berbilang kaum.

Perihal al-Quran dan Seksisme

Menurut Islam, al-Quran adalah satu kitab yang diturunkan oleh Allah kepada penyampainya, iaitu Muhammad melalui malaikat Jibrail. Seperti kebanyakkan kitab-kitab suci yang lain, al-Quran penuh dengan ayat-ayat yang merapu, kejam dan tak masuk akal.

Sebagai contoh pada ayat 5:33 Surah Al-Maaidah , Allah menyatakan “Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar. ”

al-quran-yang-mulia

Allah juga begitu seksis apabila menyatakan di dalam al-Quran ayat 4:34 surah An-Nisaa’ “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. “

Agama Islam juga penuh dengan patriaki dan seksisme. Seksisme dan patriaki adalah sinonim dengan idea fasisme dan setiap anarkis harus menolak konsep tersebut. Sebagai contoh mudah adalah, semua Rasul dan Nabi adalah dari golongan lelaki. Antara contoh lain adalah kes dimana mangsa rogol direjam dengan batu sehingga mati atas alasan berzina lantaran tiada istilah rogol dalam kitab suci (rogol dan zina diletakkan dalam satu kategori). Paling menganiayakan adalah ada wanita mangsa rogol dipaksa berkahwin dengan perogolnya. Menurut Islam juga perempuan adalah datang dari tulang rusuk kanan lelaki dan ada juga ayat yang menyatakan “Siapa yang pergi ke tempat perempuan bernyanyi dan mendengar suara nyanyiannya maka akan dituang ke dalam dua lubang telinganya pada hari akhirat dengan timah yang mendidih.” Semua kesalahan ini hanya jatuh pada kaum wanita dan tidak pada kaum lelaki.

Antara kritik yang boleh kami lontarkan adalah mengenai perihal “Satanic Verses” ataupun dalam BM “Ayat Syaitan”. Menurut beberapa sejarah awal Islam, Muhammad telah melafazkan Surah Al-Najm (53), yang telah didedahkan kepadanya oleh malaikat Jibrail, tetapi syaitan telah menggoda Muhammad untuk melafazkan ayat-ayat tersebut selepas ayat ke 19 dan 20: “Pernahkah kamu memikirkan Al-Lat dan Al-‘Uzza dan Manat, yang ketiga, yang lain? Ini adalah gharāniq dimuliakan, yang pengantaraannya diharapkan.” Al-Lat, Al-Uzza dan Manat adalah tiga tuhan yang disembah oleh pagan Mekah.  Kemudian, ahli sejarah Islam menyatakan Ayat Syaitan ini diperbetulkan kepada Muhammad melalui malaikat Jibrail. Kontroversi “Satanic Verses” kembali dihangatkan apabila Salman Rushdie telah menulis satu buku fiksi pada 1988, berdasarkan kisah ini. Dan oleh yang demikian, fatwa hukum bunuh telah dijatuhkan ke atasnya oleh Ayatollah Khomeni dan Salman Rushdie hidup dalam pelarian. Iran pada ketika itu turut menawarkan tawaran wang kepada sesiapa yang membunuh Salman Rushdie. Debat timbul kerana Muhammad telah melafazkan satu ayat yang menduakan Allah. Juga dipercayai, ketika itu, Muhammad menggunakan taktik ini bagi menyakinkan masyarakat pagan Mekah supaya mereka menerima ajaran Islam bawaanya. Juga jika diperhatikan secara terperinci, kesahihan ajaran Muhammad adalah bertentangan dengan ajaran Islam, yakni, apabila sesuatu ayat menduakan tuhan dilafazkan, seseorang itu (dalam kes ini, Muhammad) telah murtad. Tetapi soal “Satanic Verses” ini selalunya dielak oleh masyarakat Muslim untuk dibawa berbincang dan kebanyakkan penganut agama Islam, tidak tahu langsung mengenai kontroversi dan juga ayat ini.

Insiden ini juga telah membuktikan al-Quran adalah kerja manusia. Kegagalan Muhammad untuk mendapat konsensus dengan golongan pagan Arab di Mekah, yang menolak konsep tuhan yang satu seperti agama Yahudi dan Kristian, telah membuatkan beliau terdesak. Al-Quran itu sendiri mempunyai beberapa ayat yang sukar untuk difahami atau penuh dengan kontradiksi. Ini adalah bukan cara terbaik untuk mempromosi sesuatu agama. Al-Quran juga begitu bercampur aduk dan wujud bukti yang ianya adalah hasil kerja manusia, dan amatlah bercanggah sama sekali.

Kebenaran dan Kebebasan

Manusia sebenarnya boleh mencari kebenaran melalui bukti, sains, seni, muzik dan falsafah sebagai teras kehidupan. Agama bukan sahaja gagal dalam memberi penjelasan, malah gagal juga dalam memberi bukti betapa ia adalah agama yang betul dan cukup bagus. Sebagai contoh adalah mengenai beberapa kejadian yang gagal ditangani oleh tuhan seperti kejadian holocaust, kebuluran, bencana alam, pembunuhan beramai-ramai, penghambaan dan lain-lain. Sains juga membuktikan bertapa cerita oleh tuhan adalah cerita palsu kerana tidak mempunyai sebarang bukti. Walaupun cuba disangkal oleh penganut agama, sains dan agama amatlah bercanggah. Contoh paling mudah adalah teori evolusi.

Antara lain adalah menerusi surah Al-Anbiyaa’ 21:30

“Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya. Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”

Penganut agama Islam mengaitkan ayat di atas dengan teori Big Bang. Ayat tersebut menyatakan langit dan bumi dahulunya bersatu, kemudian Allah memisahan kedua-duanya. Padahal mengikut sains, planet bumi itu adalah sebahagian dari langit. Ia tidak pernah terpisah dari langit.

syurganeraka

Penutup

Golongan anarkis sudah lama mempunyai tradisi menentang agama, seperti di Sepanyol apabila fasis menubuhkan kumpulan yang menjadikan agama sebagai pegangan. Kami sedar yang agama adalah hak individu itu mempercayainya, dan kami juga percaya, setiap individu itu bebas untuk tidak mempercayainya. Kebebasan umat Islam sebenarnya akan hadir melalui pembebasan mereka daripada agama itu sendiri. Minda dan jiwa kita harus bebas merdeka dari segala dogma.

Kami tidak percaya tentang tuhan dan segala sifat-sifatnya seperti yang digembar-gemburkan oleh dogma agama. Kami meletakkan keraguan kepada kewujudan tuhan atas kekurangan bukti yang diberi oleh agama. Jika kita menerima sesuatu info tanpa berfikir, maka apa bezanya kita dengan bayi yang baru melihat dunia? Jika kita disuruh mengikuti, patuh, tanpa menyoal dan membantah, kita sudah dirampas hak ke atas diri sendiri.

Manusia tidak memerlukan agama untuk menjadi seorang yang bermoral dan berpegang kepada nilai-nilai murni. Golongan agama sering mengambarkan bahawa nilai moral itu datangnya dari ajaran agama dan bagi mereka siapa yang tidak ikut agama, adalah orang yang tidak bermoral.

Golongan agama tidak sedar yang nilai-nilai kemanusiaan dimiliki oleh semua insan di dunia tanpa mengira kepercayaan. Malah ramai manusia hilang nilai kemanusiaan apabila berpegang teguh dengan agama. Lantaran itu mereka tidak teragak-agak menumpahkan darah insan lain hanya kerana mengikut perintah agama mereka.

Mereka yang menutup akal dari berfikir tidak mungkin melihat kebenaran. Kita tidak berani untuk berfikir luar dari kotak kerana telah diajar dan dibasuh sejak kecil dengan ancaman-ancaman neraka yang menakutkan. Itu juga adalah masalah orang Kristian dan Yahudi. Mereka terperangkap dalam idealogi mereka sendiri seperti semut terjatuh dalam gam gajah.

Apa kata buang sebentar rasa takut itu. Buka minda dan kaji sendiri tidak kiralah dari internet mahupun buku-buku ilmiah tentang kebenaran. Niatkan untuk mencari kebenaran, bukan untuk melawan tuhan, bukan untuk ragu kewujudan tuhan, ataupun untuk berbahas dengan golongan atheist. Jangan baca buku-buku yang dikarang oleh orang Islam kerana sudah tentu ia bias dan berat sebelah. Baca dengan hati yang rational dan terbuka dan dengan cara demikian, kalian akan mendapat lebih pemahaman

Moga kita bebas dari belenggu ajaran yang dicipta oleh pemerintah dan penindas.

jekabsonsdotcom_nogodsnomasters

Advertisements

One comment on “Kritik Terhadap Islam Melalui Perspektif Anarkis

  1. kami anarkis
    November 5, 2014

    Reblogged this on Kami Anarkis.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Information

This entry was posted on November 4, 2014 by in ateisme, Pencerahan, Sejarah and tagged , .
%d bloggers like this: